Saturday, April 2, 2011

Huraikan fungsi adat kepada masyarakat tradisional di Asia Tenggara,Asia Timur dan Asia Selatan

Huraikan fungsi adat  kepada masyarakat tradisional di Asia Tenggara,Asia Timur dan Asia Selatan.

Masyarakat tempatan di Asia Tenggara,Asia Timur dan Asia Selatan sudah memiliki satu sistem masyarakat yang tersusun sebelum abad ke-19 dan hidup berasaskan hukum adat yang menjadi garis panduan dalam kehidupan seharian. Umumnya adat dapat ditakrifkan sebagai amalan sesuatu masyarakat secara turun-temurun dan merupakan satu peraturan yang harus dipatuhi. Terdapat pelbagai adat yang diamalkan oleh masyarakat Asia Tenggara,Asia Timur dan Asia Selatan.

Fungsi adat dalam masyarakat adalah membentuk nilai yang akan membentuk keperibadian sesuatu masyarakat. Sistem nilai tersebut adalah amalan asas yang diamalkan oleh masyarakat seperti amalan berkeluarga,bersosial,beragama,sistem ekonomi dan sebagainya. Sistem nilai ini akan mengikat masyarakat daripada melakukan perkara-perkara yang bertentangan.

Adat juga merupakan simbol keseimbangan antara manusia  dengan manusia,dan manusia dengan alam. Masyarakat mempercayai bahawa kehidupan manusia itu berkaitan dengan alam sekitar. Oleh itu, manusia berperanan untuk memastikan keseimbangan itu akan berterusan. Jika keseimbangan ini tidak dijaga, kemusnahan alam akan menimbulkan malapetaka terhadap manusia.

Adat juga telah membentuk hubungan yang erat dalam anggota masyarakat. Konsep permuafakatan dan ikatan bekerjasama yang diamalkan dalam masyarakat di Asia banyak ditentukan oleh adat yang diamalkan. Oleh yang demikian,fungsi adat adalah untuk memastikan keadilan dan kebenaran diamalkan dalam sesebuah masyarakat.

Sesungguhnya adat telah mencorakkan cara hidup sesebuah masyarakat. Perbezaan adat melambangkan perbezaan budaya dalam sesebuah masyarakat dan secara tidak langsung melambangkan budaya sesuatu bangsa. Namun demikian dengan kedatangan pengaruh luar sedikit sebanyak telah memperkayakan lagi adat tempatan.

No comments:

Post a Comment