Tuesday, April 5, 2011

Huraikan faktor-faktor yang menggalakkan penjelajahan dan penerokaan orang Barat/Eropah pada kurun ke 13 hingga 15 Masihi.

Huraikan faktor-faktor yang menggalakkan penjelajahan dan penerokaan orang Barat/Eropah pada kurun ke 13 hingga 15 Masihi.

Penerokaan bermaksud menyelidiki, menjelajah, menjalani, mengharungi dan menghadapi.Penjelajahan membawa maksud mengelilingi atau berjalan ke merata-rata tempat atau daerah.Kegiatan penerokaan dan penjelajahan bangsa Eropah dikesan sejak zaman Yunani dan Rom.Matlamat utama kuasa Barat berlumba-lumba untuk melancarkan ekspedisi penjelajahan dan penerokaan adalah untuk mendapat kekayaan (gold), kemegahan (glory) dan keagamaan (gospel). Terdapat beberapa faktor yang menggalakkan penjelajahan dan penerokaan orang barat/Eropah.         

Faktor pertama ialah Peranan pemerintah.Pada zaman Yunani orang Phonesia melakukan ekspedisi mengelilingi Benua Afrika dengan bantuan raja Mesir iaitu Firaun Necho.Iskandar Zulkarnain telah memimpin ekspedisi ketenteraan dari Macedonia dan Mesir di barat hingga Hindu Kush dan Punjab di Timur. Beliau juga menaja ekspedisi-ekspedisi yang disertai oleh pakar dan penulis untuk merekod sumber-sumber asli di kawasan takluknya.Dorongan daripada pemerintah seperti Putera Hendry dan Raja John III dari Portugal dan Sepanyol membawa kepada kemajuan dalam bidang sains dan teknologi pelayaran serta penubuhan Akademi Laut.Raja-raja negara bangsa juga memberi galakan kepada masyarakatnya untuk menjelajah dan meneroka. Tujuannya adalah untuk mengumpul kekayaan.Para pemerintahan juga memberi hadiah yang lumayan dan gelaran sebagai insentif kepada para peneroka.

Faktor kedua ialah menginginkan Maklumat dan pengetahuan tentang dunia luar.Orang Yunani melancarkan ekspedisi untuk meninjau keadaan persekitaran dan keadaan geografi sesuatu kawasan. Contohnya orang Phonesia telah melancarkan ekspedisi belayar mengelilingi pantai Afrika dengan tujuan mengetahui keluasan kerajaan Mesir.Sumber maklumat dan pengetahuan tentang dunia luar diperoleh daripada orang Islam Arab pada zaman pertengahan awal.Catatan Marco Polo mengembara ke China dalam buku “ The Travels of Marco Polo ” dan perkhidmatan rahib John Monte Carvino di India, Parsi dan China telah mendorong penjelajahan orang-orang Eropah. Maklumat yang diperoleh tentang India dan China telah menarik minat para penjelajah seperti Chistopher Colombus.

Faktor ketiga ialah ingin menyebarkan agama Kristian.Golongan paderi Kristian dan raja-raja Eropah bercita-cita untuk mengembangkan agama kristian di dunia luar.Para mubaligh kristian dengan para saudagar ingin meneroka ke tempat-tempat baru iaitu Amerika, Asia dan Afrika. Contohnya Portugal menakluki kerajaan Melayu Melaka dan salah satu faktornya ialah menyebarkan agama Kristian.Selain dari itu orang-orang Sepanyol dan Portugal ingin merampas balik tanah mereka daripada penguasaan orang Islam.

Faktor seterusnya berlaku perkembangan Kapitalisme dan Merkantilisme.Sistem ekonomi Kapitalisme mengalakkan kegiatan mengumpul modal, hak milik persendirian dan persaingan dalam perniagaan.Perkembangan ini telah mendorong kemunculan dasar ekonomi Merkantilisme di negara-negara bangsa yang menekankan dasar pengumpulan kekayaan menambah kekuasaan dan menjaga kebajikan penduduk tempatan.Bagi mencapai matlamat tersebut raja-raja negara bangsa mengalakkan penjelajahan dan penerokaan.

Faktor kelima ialah berlakunya kemajuan dalam teknologi pelayaran.Pengetahuan teknikal tentang geografi dan pelayaran mengiatkan kegiatan penjelajahan dan penerokaan.Alat-alat seperti kompas magnetik dan astrolab dicipta untuk memudahkan pelayaran. Kompas digunakan untuk menentukan arah dan astrolab digunakan untuk menentukan longitude.Masyarakat Eropah mempunyai peta yang lengkap tentang benua Eropah dan Laut Mediterranean pada abad ke-15 masihi yang memudahkan lagi aktiviti pelayaran mereka.Dengan bantuan alat-alat pelayaran, kapal-kapal yang kukuh dapat dibina untuk belajar ke lautan yang luas.

Faktor seterusnya berlaku persaingan negara-negara bangsa.Negara-negara bangsa seperti Sepanyol, Perancis dan Portugal bersaing untuk meneroka kawasan-kawasan yang baru di benua Asia, Afrika dan Amerika.Tujuan mereka adalah untuk memperoleh bahan-bahan mentah dan pasaran baru bagi barang-barang mereka.Semakin luas kawasan yang terokai semakin tinggi sanjungan yang diberi di kalangan negara-negara Eropah.

Pengaruh Renaisance juga merupakan faktor berlakunya penjelajahan dan penerokaan.Pada zaman Renaisance, cita-cita dan pemikiran bangsa Eropah telah berubah. Mereka lebih mempraktikkan ciri-ciri Individualisme, Humanisme, Sekularisme, sifat kritikal dan rasioanalisme.Institusi gereja tidak lagi mengongkong pemikiran masyarakat Eropah pada zaman ini.Keadaan ini telah mendorong kebebasan pemikiran manusia dan mula mementingkan kemajuan sains dan teknologi yang mengalakkan masyarakat Eropah menjelajah dan meneroka kawasan-kawasan baru.

Faktor seterunya ialah memecahkan monopoli saudagar-saudagar Islam. Orang Eropah memerlukan barang-barang dari Timur seperti rempah ratus, ubat-ubatan dan kapas. Perdagangan rempah dikuasai oleh pedagang-pedagang Islam dan Itali yang mengaut keuntungan besar dengan menjual barang-barang tersebut pada harga yang tinggi.Keadaan ini mendorong negara-negara Eropah khususnya Portugal dan Sepanyol mencari jalan laut ke Timur untuk mendapatkan barang-barang tersebut pada harga yang murah. Mereka juga mahu memecahkan monopili perdagangan saudagar-saudagar Islam.

Faktor terakhir ialah Perang Salib. Perang Salib memberi peluang kepada orang Eropah mempelajari ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang seperti astronomi, geometri, matematik, sains dan perubatan dari dunia Islam. Keadaan ini melahirkan bangsa Eropah yang berfikiran terbuka dan mengamalkan gaya hidup baru iaitu suka bersiar-siar dan belayar.Perang Salib juga membuka Eropah kepada dunia Timur. Mereka mahu menguasai perdagangan rempah di Timur daripada saudagar Arab.

Jelaslah bahawa faktor-faktor yang dibincangkan telah mendorong penjelajahan dan penerokaan kuasa-kuasa besar di Eropah.Akibat daripada penerokaan kawasan-kawasan baru telah meninggalkan kesan kepada penduduk tempatan dari segi politik, ekonomi dan sosial. Aktiviti penerokaan ini telah mewujudkan tanah jajahan dan empayar yang luas,mengawal jalan perdagangan di seluruh dunia dan membentuk empayar perdagangan.

No comments:

Post a Comment