Tuesday, April 5, 2011

Huraikan faktor yang membawa kepada kemunculan tamadun manusia.

Huraikan faktor yang membawa kepada kemunculan tamadun manusia.

Pengenalan :
Sebelum kewujudan tamadun, manusia memburu binatang dan memungut hasil tanaman yang tumbuh meliar. Cara kehidupan tersebut berubah apabila manusia mengetahui cara-cara bercucuk tanam dan menternak binatang. Melalui pengetahuan itu, perubahan yang besar telah berlaku dalam kehidupan manusia. Sungguhpun perubahan itu berlaku secara beransur-ansur di tempat-tempat tertentu pada masa yang berbeza-beza, ia sebenarnya telah mewujudkan garis pemisah yang sangat ketara dalam sejarah kehidupan manusia dengan zaman sebelumnya.

Konsep Tamadun.
Lokasi tamadun awal, Tamadun Mesopotamia, Mesir, Indus dan Hwang Ho.
Bermulanya pembentukan tamadun awal manusia.

Isi :
Faktor Kemunculan Tamadun :
Petempatan Kekal :Kemunculan tamadun awal sejak 3,500 SM telah disebabkan oleh wujudnya petempatan kekal. Wujud masyarakat bercorak perkampungan di mana manusia dapat berkumpul di sesuatu tempat dan hidup bersama-sama untuk menghadapi cabaran fizikal supaya persekitarannya dapat dikuasai dengan lebih berkesan. Manusia tidak lagi berpindah-randah kerana kini mereka dapat bergantung kepada bekalan makanan yang dihasilkan di sekitar kawasan petempatan mereka. Petempatan kekal ini kemudiannya mewujudkan urbanisasi.

Eksploitasi Sumber Alam/Kepentingan Sungai :Manusia tertarik kepada kesuburan tanah di lembah sungai untuk menjalankan aktiviti pertanian dan penternakan. Proses pertanian dan pengairan yang terdapat di Mesopotamia dan Mesir menunjukkan kemampuan manusia mengawal air sungai untuk tujuan pertanian secara besar-besaran. Hal ini terbukti apabila tamadun-tamadun awal terletak di tebing-tebing sungai besar seperti Sungai Nil, Tigris dan Euphrates, Indus dan Hwang Ho.

Kemajuan Teknologi :Manusia mula mencipta pelbagai peralatan yang membawa kemajuan teknologi. Hal ini terbukti dengan penggunaan logam seperti tembaga, gangsa dan besi. Penggunaan bajak menyebabkan manusia mula menggunakan tenaga haiwan bagi membantu meringankan pekerjaan mereka. Haiwan seperti kuda dan kerbau dilatih untuk mengangkut barang atau membajak sawah. Selain daripada itu, manusia juga telah berjaya mencipta pelbagai peralatan daripada tembikar.

Penciptaan Roda :Penciptaan roda telah mengubah corak pengangkutan dan mempercepatkan perkembangan industri terutamanya industri kerja tangan untuk memenuhi keperluan agama dan sosial. Roda telah meningkatkan daya produktiviti manusia. Penggunaan roda sebagai alat industri menyebabkan barang yang dikeluarkan mempunyai bentuk yang seragam dan dapat dijadikan barang-barang eksport. Roda dapat menggalakkan pertumbuhan perdagangan dengan tamadun-tamadun lain seperti perdagangan antara Mesir dan Mesopotamia dan juga antara Mesopotamia dengan Mohenjo-Daro.

Sistem Tulisan :Penciptaan sistem tulisan telah menjadi asas kepada penambahan pengetahuan dan melicinkan pengurusan ekonomi. Tulisan telah digunakan untuk merekod hal agama, pentadbiran dan perdagangan. Sistem tulisan Cuneiform telah wujud dalam tamadun Mesopotamia, tulisan hieroglif dalam tamadun Mesir dan tulisan ideogram dalam tamadun Hwang Ho.

Organisasi Sosial : Organisasi sosial atau susun lapis dalam masyarakat telah membawa kepada kemunculan tamadun. Masyarakat memerlukan pemimpin untuk menyelaras dan memberikan arahan. Pahlawan pula diperlukan untuk menjaga keamanan. Masyarakat memerlukan pendeta untuk menjalankan kegiatan agama. Pemimpin, pahlawan dan pendeta muncul sebagai orang yang berkuasa. Pahlawan dengan senjatanya. Paderi pula dengan pengetahuannya tentang tuhan. Majoriti masyarakat yang tidak memiliki alat dan pengetahuan menjadi pengikut. Lama-kelamaan masyarakat di sesuatu petempatan terbahagi kepada kelas pemerintah dan rakyat.

Pengkhususan Kerja :Kehidupan yang bertambah kompleks menyebabkan masyarakat memerlukan kepada pengkhususan untuk menjalankan tugas tertentu mengikut kemahiran dan kebolehan seseorang. Peningkatan produktiviti telah menjamin keperluan bekalan di sesuatu kawasan. Keadaan ini membolehkan sesetengah penduduk di situ menjalankan kegiatan bukan pengeluaran seperti kegiatan kesenian atau aktiviti keagamaan. Hal ini membawa kepada bermulanya pengkhususan kerja dalam masyarakat.

Agama dan Kepercayaan : Agama dan kepercayaan telah membawa kepada kemunculan tamadun. Ia membantu manusia akur dengan hukum-hukum alam. Kehidupan lebih memberikan penekanan kepada nilai-nilai agama dan kepercayaan yang mempunyai kaitan secara langsung dengan bumi dan kesuburan tanah untuk pertanian. Contohnya, orang-orang Mesir percaya bahawa tuhan tinggal di Lembah Sungai Nil.

 Perbandaran:

Migrasi ( Penghijrahan ):

 Kemajuan ekonomi:

Geografi:

Kesimpulan  :Secara keseluruhannya, sesuatu tamadun itu menunjukkan bentuk yang formal dan berorganisasi. Faktor-faktor kemunculan tamadun itu saling berkaitan dan saling melengkapi. Melaluinya lahirlah tamadun-tamadun awal manusia seperti tamadun Mesopotamia, Mesir dan Hwang Ho.

No comments:

Post a Comment