Saturday, April 2, 2011

Huraikan adat masyarakat yang diamalkan di Myanmar

Huraikan adat masyarakat yang diamalkan di Myanmar.

Masyarakat tempatan di Myanmar sudah memiliki satu sistem masyarakat yang tersusun sebelum abad ke-19 dan hidup berasaskan hukum adat yang menjadi garis panduan dalam kehidupan seharian. Umumnya adat dapat ditakrifkan sebagai amalan sesuatu masyarakat secara turun-temurun dan merupakan satu peraturan yang harus dipatuhi. Terdapat pelbagai adat yang diamalkan oleh masyarakat Myanmar.

Antara amalan adat yang dilakukan seperti adat berkaitan tanah, adat mengadap raja dan adat menanggalkan kasut. Bagi adat mengadap raja, pihak istana telah menetapkan mengikut tatacara yang ditetapkan kepada golongan bangsawan, rakyat jelata dan perwakilan asing. Misalnya, perwakilan asing atau pelawat luar perlu menunggu di perkarangan istana untuk tempoh yang ditetapkan dan dipandu melewati tiga pintu gerbang yang dikawal oleh pasukan tentera yang berlainan.

Seterusnya ialah adat menanggalkan kasut dimana mengikut adat ini sebelum memasuki istana atau pagoda, dikehendaki menundukkan kepala dan menanggalkan kasut. Hal ini demikian kerana pagoda dan kawasan istana serta persekitarannya adalah kawasan larangan dan merupakan kawasan suci. Larangan yang diamalkan menjadi simbol penghormatan tertinggi rakyat kepada raja.

Bagi adat yang berkaitan dengan tanah pula, telah ditetapkan bahawa tanah bukan dimiliki oleh orang perseorangan , tetapi turut dimiliki oleh keluarga, masyarakat dan raja. Tujuannya ialah untuk menjamin kedudukan seorang daripada disingkirkan dalam masyarakat. Kepentingan tanah dapat dilihat apabila seseoarang itu menghadapi masalah hutang, dia boleh menjual diri dan keluarga untuk dijadikan hamba. Tetapi dia tidak boleh menjual tanah yang diusahakannya.

Tanah boleh diberikan kepada sesiapa yang mahu mengerjakannya. Jika anak dan keturunannya dapat menunjukkan kemampuan untuk mengerjakan tanah itu, maka tanah tersebut boleh kekal dengan mereka. Ancaman penyingkiran seseorang daripada tanah keluarga adalah merupakan hukum adat yang amat berkesan. Tindakan tersebut bertujuan untuk mengelakkkan daripada berlakunya kejadian yang buruk di samping dapat menjamin hubungan sesebuah keluarga serta menstabilkan masyarakat Myanmar.

Kesimpulananya adat memainkan peranan penting dalam masyarakat Myanmar. Walaubagaimanapun adat-adat yang diamalkan oleh masyarakat Myanmar mengalami perubahan selepas kedatangan kuasa barat yang telah membawa pembaharuan.

2 comments: